Korea Selatan Diserang Demam Khinzir Afrika.


Korea Selatan semalam melaporkan kes pertamanya bagi demam khinzir Afrika, menjadi negara terbaharu yang diserang oleh penyakit itu yang telah membunuh khinzir dari China ke Korea Utara, menyebabkan kenaikan harga dagingnya di seluruh dunia.

Lima ekor khinzir yang ditemui mati di sebuah ladang di Paju, sebuah bandar berhampiran sempadan antara Korea, telah disahkan sebagai dijangkiti virus tersebut, seorang pegawai dengan kementerian pertanian di Seoul memberitahu AFP.

"Pada peringkat ini, ia masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada kes ini berpunca dari Utara," tambah pegawai tersebut.

Menteri pertanian di Seoul Kim Hyun-soo menyatakan 3,950 ekor khinzir dari tiga ladang di Paju telah dibunuh.

Virus itu tidak berbahaya kepada manusia namun menyebabkan demam berdarah terhadap khinzir yang selalunya hampir membunuh.

Tiada antidot atau vaksin malah satu-satunya cara yang diketahui bagi menghalang penyakit tersebut daripada merebak adalah penghapusan secara besar-besaran haiwan ternakan yang dijangkiti.

Kes-kes yang disahkan di Selatan muncul kira-kira tiga bulan selepas Pyongyang memberitahu Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) bahawa beberapa ekor khinzir telah mati akibat penyakit di sebuah ladang berhampiran dengan sempadan China, menurut kepada kementerian pertanian di Selatan.

Pada Jun, Seoul menyatakan penyakit itu kemungkinan besar memasuki negara dari Utara dan mengarahkan pagar diletakkan di ladang sepanjang sempadan bagi mengelak kemungkinan kaitan di antara khinzir dan babi hutan.

Terdapat kira-kira 6,700 ladang khinzir di sekitar Korea Selatan, di mana perladangan khinzir meliputi 40 peratus daripada industri haiwan ternakan secara menyeluruh.

Pada Mei, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan harga daging babi telah meningkat sehingga 50 peratus di China dan dalam bursa hadapan Chicago kesan dari wabak tersebut.

Pada bulan lepas, ia menyatakan hampir lima juta ekor khinzir di Asia telah mati atau dibunuh disebabkan oleh penyakit yang pantas merebak itu. - Utusan Sarawak

No comments