Pelantikan Datuk IR Amarjit Singh Sebagai Pengarah JANS Tidak Sah.

Datuk Ir Amarjit Singh

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi hari ini mengisytihar pelantikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Datuk Ir Amarjit Singh tidak sah kerana bertentangan dengan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air 2003.

Keputusan itu dibuat Hakim Ravinthiran R Paramaguru, berhubung kes difailkan oleh Plaintiff iaitu bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee yang juga Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) pada 19 Mac lalu bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Amarjit pada Ogos tahun lalu tidak mengikut undang-undang.

Yong dan seorang ahli perniagaan dari Tawau, Pang Thou Chung ketika memfailkan saman itu menyatakan bahawa pelantikan berkenaan bertentangan dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Seksyen 3 dalam enakmen itu menyatakan bahawa pelantikan jawatan kanan mestilah dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Sebelum dilantik sebagai Pengarah JANS oleh kerajaan baharu Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) Amarjit bukan seorang anggota perkhidmatan awam.

Dalam saman tersebut, Amarjit dinamakan sebagai Defendan pertama manakala Kerajaan Negeri Sabah ialah Defendan kedua.

Mewakili Yong dan Pang ialah Yong Yit Jee dan Darren Nicholas Punai manakala Puan Dayangku Fazidah dari Pejabat Peguam Besar Negeri bertindak untuk kedua Defendan.

Dalam saman itu, mereka mendakwa sebaik dilantik ke jawatan tersebut, Amarjit telah mengambil tindakan yang mendatangkan kemudaratan kepada bekalan air Sabah.

Antaranya, dakwa mereka ialah pembatalan dua projek bekalan air penting di Tawau dan Lahad Datu pada hari pertama beliau menjadi pengarah JANS.

Yong dan Pang turut mendakwa tindakan Amarjit menamatkan perjanjian antara JANS dan enam syarikat konsesi air menunjukkan ketidakcekapan beliau.

Akibat tindakan tersebut, Kerajaan Negeri berdepan dengan saman berjumlah RM409.8 juta, kata mereka.

Mengulas tentang keputusan tersebut, Yong berkata walaupun Mahkamah tidak memerintah pembatalan semua keputusan yang telah dibuat sepanjang Defendan menjawat jawatan tersebut beliau menyeru pihak kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah.

"Pelantikan itu diisytiharkan Mahkamah sebagai tidak sah berkuatkuasa hari ini (9 Oktober, 2019)," kata Yong lagi.

"Oleh itu, satu-satunya yang harus dilakukan oleh beliau ialah untuk mengosongkan pejabat dan berhenti daripada memberi apa-apa arahan kepada mana-mana pegawai ataupun kakitangan JANS," katanya.

Ketika dihubungi, Yong berkata pihak Defendan berhak membuat rayuan terhadap keputusan tersebut namun beliau berpendapat ianya hanyalah memberi mereka masa untuk menyelesaikan masalah di peringkat pentadbiran jabatan.

"Buat masa sekarang, Perintah Mahkamah mengisytiharkan pelantikan Amarjit sebagai pengarah JANS tidak sah tidak boleh dipertikaikan.

"Keputusan Mahkamah akan terus berkuatkuasa sehinggalah atau sekiranya ianya diubah oleh Mahkamah Rayuan. Inipun akan memakan jangkamasa berbulan lama.

"Oleh demikian, mengikut undang-undang JANS kini tidak mempunyai Pengarah," ujar Yong.

Seorang pegawai kerajaan yang bersesuaian dan berkelayakan seharusnya dilantik oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menjalankan tugas Pengarah Jabatan Air Sabah, katanya.

Pegawai di Pejabat Peguam Besar Negeri tidak dapat dihubungi untuk komen.

Sumber

No comments