Istana Sahkan Terima Pemulangan Pingat Kebesaran Tun M Dan Isteri.
Foto: FMT
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais berkata pihak istana menerima pemulangan itu "tanpa halangan".
"Tindakan mewartakan pembatalan kurniaan darjah-darjah dan bintang-bintang kebesaran Selangor tersebut akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan," katanya.
Semalam Malaysiakini melaporkan bekas perdana menteri itu dan isterinya menyerahkan semula anugerah kebesaran yang diterima daripada sultan Selangor sebelum ini.
Antara pingat itu adalah yang tertinggi dikurniakan oleh negeri terbabit.
Pingat serta anugerah berkenaan dikembalikan kepada pihak istana pada 7 Dis lalu.
Dr Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama pada 22 Jun 1978 dan ia hanya dianugerahkan kepada dua individu pada sesuatu masa.
Beliau juga menerima Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) sebulan sebelum bersara sebagai perdana menteri pada Okt 2003.
Pingat yang dikembalikan Dr Siti Hasmah itu pula ialah anugerah yang diterimanya daripada sultan Selangor pada 1983 dan 1994.
Ia membabitkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor.
"Adalah dimaklumkan DYMM Sultan Selangor telah berkenan menerima pemulangan kembali darjah-darjah dan bintang-bintang kebesaran Selangor tersebut daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tanpa halangan," kata Hanafisah.
Walaupun tidak dinyatakan secara rasmi sebab pingat dan anugerah itu dikembalikan, ia dipercayai ada kaitan dengan teguran dan titah Sultan Sharafuddin terhadap Dr Mahathir sejak akhir-akhir ini.
Antaranya membabitkan ucapan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu mengenai Bugis - yang disasarkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sumber
Post a Comment