Aduhai...Umur Baru 8 Tahun Sudah 'Start' Hidu Gam.
Jainab ketika sidang media berkenaan. -Gambar Oleh Alex Mairin
KOTA KINABALU: “Gejala pengambilan gam di negeri ini berada dalam keadaan yang membimbangkan kerana berdasarkan tangkapan yang kita buat kita dapati kanak-kanak seawal usia lapan tahun sudah menghidu gam.”
Demikian kenyataan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Hajah Jainab Haji Ahmad Ayid, ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Jainab menyatakan, kes menghidu gam di negeri ini ramai melibatkan warga asing yang membabitkan kanak-kanak seawal usia lapan hingga 15 tahun.
“Kita juga dapati bahawa individu yang menghidu gam pada awalnya, apabila mencecah usia 15 tahun, mereka akan beralih mengambil dadah.”
“Berdasarkan senario itu, kita melihat pengambilan gam ini adalah permulaan bagi mereka sebelum terjebak ke kancah penagihan dadah,”katanya.
Jainab turut menyeru agar ibu bapa memainkan peranan sebagai tunjang untuk membendung masalah ini selain kerjasama dari semua pihak juga diperlukan bagi mengelakkan kes pengambilan gam di negeri ini terus meningkat.
“Kesedaran masyarakat itu adalah penting kerana berdasarkan kajian hanya 10 peratus kanak-kanak yang tahu mengenai kesan menghidu gam.”
“Sudah sampai masanya satu undang-undang khas berhubung pengambilan gam ini dikuatkuasakan sebelum kejadian yang lebih buruk akan berlaku,”katanya.
Jainab turut menyatakan, pada tahun hadapan satu kempen besar-besaran untuk memerangi gejala penagihan dadah yang juga akan menjadi platform memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung gejala ini akan diadakan.
“Dalam kempen ini kita akan libatkan pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin-pemimpin masyarakat di peringkat kampung agar kesedaran berhubung gejala ini dapat disampaikan hingga ke akar umbi,”katanya. -my
Post a Comment