Banjir Kota Belud Dijangka Bertambah Buruk.

Seorang penduduk kampung Bobot dekat sini meninggalkan kediamannya selepas rumahnya dilanda banjir. Kebanyakkan penduduk kampung tersebut dipindahkan ke pusat penempatan banjir sementara di Dewan Tun Said Kota Belud. - Bernama

KOTA BELUD: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kini bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir bertambah buruk di daerah ini berikutan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan hujan lebat berterusan sehingga minggu depan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Sabah, Alias Abu berkata setakat ini sepuluh agensi terlibat menguruskan bencana banjir di Kota Belud sejak semalam, dan kini dalam langkah bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan banjir bertambah buruk.

“Sekiranya situasi banjir ini semakin teruk, kita akan minta bantuan daripada balai-balai yang berhampiran untuk menangani masalah banjir berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata antara agensi keselamatan yang turut terlibat adalah bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melibatkan 144 pegawai dan anggota.

Sehingga kini seramai 120 mangsa daripada 79 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Masyarakat Tun Said selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan berterusan sejak semalam.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, mangsa-mangsa merupakan sebahagian daripada penduduk 26 kampung di Kota Belud.

Menurutnya jumlah jalan raya terjejas banjir dan tidak dapat dilalui kenderaan juga kekal sembilan iaitu Jalan Kampung Marajah-Kampung Donggoi, Jalan Lebak Moyoh-Bypass Kudat, Jalan Kampung Sembirai, Jalan Kampung Lebak Engad, Jalan Kampung Limau, Jalan Kampung Menunggui, Jalan Bobot, Jalan Kota Belud dan Jalan Siasai Tamu.

Sementara itu, paras Sungai Kedamaian pada masa ini ialah 1.23 meter (m) manakala paras Sungai Abai pula iala 5.66m iaitu masing-masing pada paras amaran dan bahaya. - Bernama

No comments