Askar Buangan US Meninggal Dunia.
Gambar fail pada 18 Julai 2004 menunjukkan bekas tentera AS yang berpaling tadah kepada Korea Utara, Charles Jenkins (kiri) bersama isterinya, Hitomi Soga (kanan) dan anak perempuan mereka (belakang) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo. Jenkins meninggal dunia pada usia 77 tahun kerana masalah jantung. - AP
TOKYO: Charles Jenkins, seorang tentera US yang berpaling tadah, yang menghabiskan selama empat dekad di Korea Utara dan berkahwin dengan seorang wanita Jepun yang diculik oleh Pyongyang, telah meninggal dunia pada usia 77 tahun, menurut para pegawai hari ini.
Menurut harian Asahi Shimbun, anak perempuan Jenkins menemuinya rebah di luar rumah mereka semalam dan terus mendapatkan perkhidmatan kecemasan.
Dia kemudian meninggal dunia kerana masalah jantung di sebuah hospital di bandar utara Sado, menurut kerajaan setempat.
Dia berpaling tadah pada tahun 1965, menyeberangi sempadan yang dikawal ketat ke Korea Utara dari Selatan.
Dia berkata dia bimbang untuk dihantar ke Vietnam dan fikir Korea Utara akan menghantarnya kembali.
Sebaliknya, dia meluangkan masa 39 tahun di Pyongyang, di mana dia mengajar Bahasa Inggeris kepada kadet perisik dan memegang watak orang jahat Yanki dalam filem-filem propaganda. Pada tahun 1980, dia berkahwin dengan Hitomi Soga, yang diculik oleh ejen Korea Utara dalam era Perang-Dingin.
Soga dibenarkan meninggalkan Korea Utara ke Jepun pada tahun 2002 dan Jenkins mengikutinya dua tahun kemudian bersama dua orang anak perempuan mereka.
Kerajaan Jepun kemudian memberikan status penduduk tetap kepadanya dan dia tinggal di kampung halaman Soga di Sado, sebuah pulau di Laut Jepun. Soga berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pentadbiran bandar hari ini bahawa dia ‘sangat terkejut’ dengan kematian Jenkins dan ‘tidak dapat memikirkan apa-apa’. -AFP
Post a Comment