Polis Tumpaskan ‘Geng Farah’ Dan 'Geng Joepy’ Dalam Kes Curi Bernilai Lebih RM100 Ribu.
KOTA KINABALU: ‘Geng Farah’ dan Geng Joepy’ yang terlibat secara aktif dalam kegiatan pecah rumah dan curi di premis, rumah, pejabat dan kilang di sekitar Daerah Kota Kinabalu berjaya dibanteras pihak polis selepas berjaya menangkap lapan orang suspek yang menganggotai kumpulan berkenaan.
Ramli (dua dari kanan) ketika melihat barang rampasan dalam operasi berkenaan.-Gambar Oleh Alex Mairin
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din, dengan tangkapan ini sebanyak 10 kes pecah rumah dan curi melibatkan anggaran kerugian lebih kurang RM147, 500 telah berjaya diselesaikan dimana sejumlah RM70, 000 barangan elektrik dan elektronik telah berjaya dirampas dalam empat siri serbuan.
“Pihak polis telah membuat tangkapan terhadap ‘Geng Farah’ pada 28 Jun lalu jam lebih kurang 10.00 malam di sekitar Taman Keramat Kota Kinabalu dan seramai empat suspek dan salah seorang daripadanya adalah wanita yang menjadi dalang utama kumpulan ini telah ditangkap.”
“Dua orang suspek lelaki juga didapati positif dadah jenis Syabu manakala dua lagi suspek termasuk seorang yang masih bebas mempunyai rekod jenayah lampau iaitu Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1052,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Ramli turut menyatakan, hasil soal siasat keempat-empat suspek didapati terlibat sekurang-kurangnya tujuh kes pecah rumah dan premis sejak awal tahun ini sehingga Jun dengan anggaran kerugian sebanyak RM57,500.
“Dalam operasi berkenaan, pihak polis juga berjaya merampas barang-barang bernilai lebih kurang RM35,000 dan kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 5 Julai nanti,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Pihak polis juga memburu satu lagi suspek lelaki yang masih bebas iaitu Masrinhy Bin Masazing, 35 tahun berbangsa Rungus dan beralamat di Taman Keramat Kota Kinabalu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diseru agar memaklumkan pihak polis.
Sementara itu satu lagi kumpulan iaitu ‘Geng Joepy’, seramai empat orang suspek telah ditahan dalam satu operasi yang telah dilaksanakan di Kampung Lok Kawi Penampang dan Lido Square Kota Kinabalu pada 29 Jun lalu.
“Keempat-empat suspek didapati positif dadah jenis syabu dan turut mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.
Hasil soal siasat, keempat-empat suspek didapati terlibat dalam tiga kes pecah rumah dan curi kenderaan di Daerah Kota Kinabalu sejak Mac hingga Jun tahun ini dengan anggaran kerugian adalah lebih kurang RM92,000.
Suspek yang diburu pihak polis.
“Hasil serbuan telah berjaya merampas barangan elektrik dan elektronik bernilai lebih kurang RM35,000 dan kesemua suspek telah direman selamat empat hari sehingga hari ini dan akan disambung reman untuk meneruskan siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Kesemua suspek merupakan warga tempatan. - Oleh Leolerry Lajius
Post a Comment