‘Borneo Ant House’ Bakal Jadi Tarikan Terbaharu Sabah.
TUARAN: Borneo Ant House, galeri bawah tanah seumpamanya di Malaysia bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di Sabah apabila mula menerima kehadiran pengunjung mulai 1 Julai ini. Galeri berkonsepkan rumah semut yang dilancarkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun itu terletak di Kampung Kindu, Lebuhraya Tuaran-Tenghilan, di sini, kira-kira 41 kilometer dari Bandar raya Kota Kinabalu.
Pengarah Eksekutif Borneo Ant House Sufiah Abd Rahim Lee berkata konsep dan idea galeri merangkap taman tema itu diilhamkan oleh suaminya Tarmizi Sandhu beberapa tahun lalu sebelum mengambil langkah seterusnya kerana melihat ada potensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan. Beliau yang juga seorang pesara guru berkata projek itu diusahakan bersama anggota keluarganya pada 2015 di atas tanah seluas 1.2 hektar dengan kos perbelanjaan kira-kira RM700,000.
“Selepas dua tahun, galeri dan taman tema ini siap dibina. Tidak hanya untuk menarik pengunjung beriadah serta memanfaatkan kualiti masa bersama keluarga, Borneo Ant House ini juga adalah platform untuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di sini,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran galeri tersebut. Terdahulu, ketika berucap, Masidi turut memuji kesungguhan dan keberanian keluarga Sufiah untuk melabur bagi mewujudkan produk pelancongan di Sabah yang sememangnya mempunyai masa depan cerah memandangkan negeri ini adalah lubuk pelancongan.
“Inovasi dan kreativiti adalah dua elemen yang amat diperlukan dalam industri pelancongan. Produk pelancongan itu juga mesti mempunyai tarikan tersendiri yang dapat menarik pengunjung. Jika kita (Sabah) mempunyai lebih banyak produk pelancongan, maka akan lebih ramai pengunjung datang,” katanya. - Bernama
Post a Comment