Misi Balas Dendam Kerana Dimalukan.


BERLIN, 6 Dis - Penjaga gol, Sven Ulreich berkata, Bayern Munich bertekad untuk membalas dendam kekalahan memalukan dalam saingan Liga Juara-Juara kepada Paris Saint-Germain (PSG) apabila kedua-dua pasukan bertemu di Bavaria, Rabu ini.

Bayern tumbang 0-3 di Paris pada penghujung September lalu dengan Dani Alves, Edinson Cavani dan Neymar meledak gol di Parc de Princes yang membawa kepada pemecatan pengendali kelab gergasi Jerman itu, Carlo Ancelotti sebelum melantik bekas pengurus, Jupp Heynckes.

Sejak pelantikan Heynckes, Bayern menang 10 daripada 11 perlawanan mereka.

Dengan kedua-dua pasukan sudah pun melepasi peringkat 16 terakhir, Bayern perlu menewaskan PSG dengan kelebihan empat gol di Allianz Arena untuk menghuni tempat teratas kumpulan.

“Sudah tentu kami mahu membalas dendam. Pasti sukar untuk memenangi peringkat kumpulan, tetapi ia adalah membabitkan prestij dan kami mahu menunjukkan yang perlawanan pertama hanyalah kesilapan,” kata Ulreich kepada majalah Kicker.

Ancelotti menggugurkan beberapa bintang senior antaranya Arjen Robben, Franck Ribery, Jerome Boateng dan Mats Hummels dalam kesebelasan utamanya di Paris yang membawa kepada kekalahan besar itu.

Bayern juga berharap kekalahan pertama PSG dalam saingan Ligue 1 musim ini kepada Racing Strasbourg memberi kelebihan kepada mereka yang menang ke atas Hannover 96, 3-1 di Munich.

“Ia petang yang amat memberi tekanan kepada kami di Paris apabila kami tidak bermain dengan baik, tiada banyak arahan di belakang,” kata Ulreich yang mengambil alih tempat Manuel Neuer yang sedang cedera.

“Segala-galanya perlu berada dalam keadaan yang betul pada perlawanan itu nanti dan kami akan menunjukkan diri kami yang sebenar.

Ia adalah perlawanan yang istimewa bagi kami semua.

“Liga Juara-Juara, menentang PSG, di depan gelanggang yang penuh di Munich, inilah perlawanan yang kamu semua impikan ketika kanak-kanak.”

Sementara itu, pengurus Borussia Dortmund, Peter Bosz tidak akan terburu-buru menurunkan pemain sayap Jerman, Marcos Reus untuk kembali selepas mengalami kecederaan, di mana Dortmund cuba untuk menewaskan Real Madrid dalam perlawanan Liga Juara-Juara pada hari Rabu nanti.

Dortmund akan berkunjung ke Santiago Bernabeu untuk bertemu juara bertahan Real, yang sudah menempah slot ke 16 terakhir. Apa penting dalam perlawanan tersebut, Dortmund perlu mengekalkan kedudukan ketiga dalam kumpulan untuk melayakkan ke peringkat kalah mati Liga Eropah.

Dengan hanya mempunyai satu kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir, jurulatih Dortmund Bosz merasakan tekanannya. Senarai kecederaan semakin bertambah termasuk Mario Goetze, Maximilian Philipp dan Gonzalo Castro terpaksa diketepikan dalam tempoh yang belum diketahui.

Ahli lembaga kelab Dortmund percaya bahawa Bosz boleh mengubah nasib dan tujuannya pun sudah tercapai untuk layak ke Liga Eropah.

“Kami mahu kekal bermain di Eropah, keputusan seri adalah yang terbaik untuk kami,” beritahu CEO Hans-Joachim Watzke sebelum berlepas ke Madrid. -AFP

No comments