Kena Cekup Tidak Sampai Seminit Ketika Menyamun.
BARANG yang digunakan ketika menyamun sebuah premis serbaneka 24 jam di Taman Sejati Batu 5, Jalan Kuhara, Tawau. - Foto Ihsan IPD Tawau
TAWAU: Seorang penyamun ditahan tidak sampai seminit ketika cuba menyamun wang tunai di sebuah kedai serbaneka 24 jam di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam di Taman Sejati Batu 5, Jalan Kuhara, di sini, suspek yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang panjang meluru masuk ke premis berkenaan sambil mengacukan pedang samurai.
Suspek warga asing berusia 37 tahun itu kemudian mengarahkan pekerja di bahagian kaunter supaya menyerahkan wang tunai.
Ketika kejadian, seorang lagi pekerja berada di pejabat dalam premis terbabit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata pada masa sama di hadapan premis terbabit, sepasukan enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sedang menjalankan rondaan cegah jenayah.
Katanya, sebaik melihat suspek mengacukan parang kepada pekerja premis itu, anggota terbabit masuk ke dalam premis lalu menjerit memperkenalkan diri sebagai polis.
“Anggota polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum sebelum menahan suspek kerana dia tidak memberi kerjasama,” katanya kepada media di sini, sebentar tadi.
Fadil berkata, susulan itu, polis merampas topi keledar, topeng, beg kecil, sebilah parang berhulu kayu panjang 60 sentimeter serta pemutar skru.
SUSPEK berusia 37 tahun yang ditahan ketika cuba menyamun sebuah premis serbaneka 24 jam di Taman Sejati Batu 5, Jalan Kuhara, Tawau. - Foto Ihsan IPD Tawau
SUSPEK berusia 37 tahun yang ditahan ketika cuba menyamun sebuah premis serbaneka 24 jam di Taman Sejati Batu 5, Jalan Kuhara, Tawau. - Foto Ihsan IPD Tawau
SUSPEK berusia 37 tahun yang ditahan ketika cuba menyamun sebuah premis serbaneka 24 jam di Taman Sejati Batu 5, Jalan Kuhara, Tawau. - Foto Ihsan IPD Tawau
“Pemeriksaan mendapati suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine pernah dua kali dipenjara berkaitan kesalahan dadah pada tahun 2014 dan 2016, selain pernah diusir dari negara ini mengikut Akta Imigresen pada 2006.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun,” katanya. - BH ONLINE
Post a Comment