Tentera Tahan Penyumbang Dana Utama Serangan Marawi.
MANILA: Pasukan keselamatan Filipina menahan pembiaya utama dan penyokong logistik militan pro-Daesh yang selama beberapa minggu berjuang menentang tentera kerajaan untuk mengawal bandar Marawi, di selatan negara itu.
PASUKAN keselamatan Filipina menahan pembiaya utama dan penyokong logistik militan pro-Daesh yang selama beberapa minggu berjuang menentang tentera kerajaan untuk mengawal bandar Marawi. - Foto REUTERS
Jurucakap tentera, Brig Jeneral Gilbert Gapay berkata, pihaknya menyerbu sebuah perkampungan tidak jauh dari Marawi dan menahan tiga suspek ditemui bersama peluru dan bahan membuat bom.
Seorang daripada suspek yang ditahan adalah penyokong penting kumpulan Maute, dikenal pasti Gapay sebagai Monaliza Romato atau Monay.
Wanita itu adalah anak saudara ibu pemimpin puak Maute, yang mana golongan lelaki mengetuai serangan Marawi.
Dua daripada tujuh adik beradik Maute, Omar dan Abdullah, mendapat pendidikan di Asia Barat dan menjadi perancang utama serangan di Marawi, kata tentera.
“Monay menggantikan ibu saudaranya sebagai pembiaya utama dan penyokong logistik kumpulan militan.
Tangkapan itu akan menjejaskan rangkaian sokongan logistik kumpulan,” kata Gapay.
Katanya, rampasan senjata dan penahanan terbabit akan menghalang militan daripada melancarkan serangan lencongan.
Militan Maute, merampas bandar Marawi pada 23 Mei lalu dan menentang serangan setiap hari oleh tentera kerajaan yang menggunakan bantuan pesawat dan meriam serta sekutunya dari Amerika Syarikat dan Australia.
Pertempuran di bandar majoriti Islam di selatan Filipina menyebabkan negara jiran bimbang Daesh bertapak di rantau itu ketika kehilangan pengaruh di wilayah Asia Barat. - Reuters/BH ONLINE
Post a Comment