APMM Tawau Tahan 29 PATI Filipina Cuba Masuk Ke Sabah.
TAWAU, 5 Julai: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina termasuk seorang juragan selepas cuba menyeludup masuk ke negeri ini menggunakan bot pam di perairan Sungai Kinabutan Kecil di sini, awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Tawau, Komander Maritim Romli Mustafa berkata kesemua PATI berumur lingkungan dua bulan hingga 61 tahun itu ditahan di dalam sebuah bot pam berukuran 10 meter panjang, kira-kira pukul 4 pagi tadi.
“Siasatan awal terhadap tekong bot berusia 24 tahun itu memberitahu kesemua mereka bertolak sejak 6 pagi semalam dari Pulau Bongao di Tawi-Tawi Filipina dan berada selama 22 jam dengan meredah perjalanan kira-kira 100 batu nautika untuk ke tempat pendaratan di Sungai Kinabutan Kecil,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya hasil siasatan turut mendapati 28 pati telah membayar sejumlah RM200 untuk setiap seorang kepada tekong supaya membawa masuk mereka ke negara ini melalui Tawau.
“Kesemua 28 PATI ini (termasuk tujuh kanak-kanak) berhimpit dalam bot dan tidak memakai jaket keselamatan, rata-rata kesemua mereka ini tidak mempunyai ikatan kekeluargaan dan merupakan pertama kali datang ke negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Romli berkata APMM turut meminta pasukan khas daripada polis supaya menyiasat secara terperinci sama ada 16 lelaki dan enam wanita daripada 29 pati ditahan itu terlibat dalam jenayah rentas sempadan termasuk penculikan untuk wang tebusan di Zon Selamat Timur Sabah. - BERNAMA
Post a Comment