Shafie Bakal Dicabar Oleh bekas Setiausaha Politiknya.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bakal dicabar oleh bekas setiausaha politik beliau iaitu Datuk Haji Razak Tun Sakaran pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 


Razak yang juga merupakan sepupu kepada Shafie menyatakan, walaupun belum ada pengumuman rasmi berkenaan perkara tersebut namun beliau berkata tidak akan menolak sekiranya diberi tanggungjawab itu. 

“Warga Semporna tahu dan kenal siapa diri saya dan walaupun belum ada pengumuman rasmi berhubung perkara ini tetapi saya tidak akan menolak sekiranya diberi tanggungjawab itu,”katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini. 

Razak turut menyatakan keyakinan bahawa beliau akan memperoleh kemenangan dalam PRU berkenaan dan tidak akan gentar berhadapan dengan Shafie mahupun calon Parti Warisan yang lain. 

Beliau turut menyatakan perasaan kecewa kerana di saat Semporna telah mempunyai seorang pemimpin yang boleh diharapkan untuk membawa perubahan besar kepada daerah berkenaan, Shafie tidak menggunakan peluang itu sebaiknya. 

“Tidak dinafikan bahawa beliau ada membuat perubahan kepada Semporna namun sepatutnya daerah ini boleh menjadi lebih baik dari sekarang dan ketika ini boleh dilihat daerah ini masih ketinggalan berbanding kawasan lain,”katanya. 

Razak turut menyetujui kebenaran desas desus yang menyatakan bahawa Shafie tidak pernah datang berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, untuk membincangkan soal pembangunan di negeri ini. 

“Perkara itu memang benar dan sepatutnya beliau harus mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri berhubung pembangunan di negeri ini namun perbincangan itu tidak pernah berlaku,”katanya. 

Ditanya mengenai aspirasi beliau untuk Semporna beliau menyatakan bahawa daerah ini yang kaya dengan lokasi pelancongan yang menarik wajar diberi perhatian dan dalam masa yang sama turut melibatkan warga Semporna ke arah membangunkan daerah ini. 

“Semporna kaya dengan lokasi-lokasi pelancongan yang menarik dan ia wajar diberi perhatian sebaiknya dan jika saya diberikan peluang saya akan memastikan perkara ini diambil perhatian serta mengambil langkah menyelesaikan isu-isu pembangunan di kawasan ini terutama sekali berhubung bekalan air.” 

“Saya melihat masyarakat Semporna telah lama menanti pembangunan seumpama ini daripada pemimpin politik dan bagi saya daripada mereka hanya berharap kepada peruntukan yang disalurkan, adalah lebih baik melibatkan mereka secara langsung ke arah merancakkan proses pembangunan di daerah ini,”katanya.

No comments