7 Pelajar Kor Kadet Polis Cedera Lori Terbalik.

TAWAU: Tujuh pelajar, yang juga peserta Kor Kadet Polis, cedera ringan selepas lori polis dinaiki mereka terbalik di kawasan Bukit Ular, Jalan Sapi Nangoh, dekat Beluran, malam semalam. 

LORI yang membawa pelajar Kor Kadet Polis terbalik di Jalan Sapi Nangoh, Beluran, semalam. - Foto ihsan IPD Tawau.

Ketika kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, semua mangsa dalam perjalanan dari Tawau untuk menyertai perkhemahan Kor Kadet Polis di Kudat. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata lori polis terbabit dinaiki 28 pelajar, dengan 21 daripada mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Katanya, keseluruhan rombongan terdiri daripada enam kenderaan, yang membawa 74 pelajar kor kadet, enam guru dan lapan anggota polis. 

“Apabila tiba di lokasi kejadian iaitu laluan mendaki bukit dan selekoh tajam, sebuah daripada enam lori terbabit terbalik ke atas kanan jalan. 

“Tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan ini dan semua pelajar dilindungi insurans serta telah mengisi borang kebenaran ibu bapa,” katanya, di sini, sebentar tadi. 

Fadil berkata, semua pelajar yang cedera dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut. - BH ONLINE

No comments