1,500 Penduduk Terjejas Laluan Runtuh Di Tuaran.

TUARAN: Lebih 1,500 penduduk di enam kampung, di sini, hampir terputus hubungan apabila Jalan Bantayan-Sungai Damit yang menjadi laluan utama mereka rosak akibat kejadian tanah runtuh, malam tadi. 

Tanah runtuh di Jalan Bantayan-Sungai Damit tidak menjejaskan keselamatan Jambatan Baru Tamparuli yang menghubungkan laluan Tuaran-Ranau. - Foto Johary Indan 

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan penduduk Kampung Bantayan, Damat, Sungai Damit, Sawah, Bintangor dan Tangkurangoh berikutan ia adalah satu-satunya laluan menghubungkan kawasan berkenaan dengan pekan Tuaran dan Tamparuli, di sini. 

Difahamkan, dalam kejadian pada kira-kira jam 9 malam itu, sebahagian besar laluan berhampiran Jambatan Baru Tamparuli di persimpangan Jalan Tamparuli-Ranau runtuh secara tiba-tiba ketika hujan lebat. 

Tinjauan BH mendapati hanya satu lorong dapat dilalui kenderaan menyebabkan pergerakan lalu lintas terjejas terutama kedudukannya berhampiran persimpangan jalan raya utama. 

Selain jalan raya, turut terjejas ialah saluran paip Jabatan Air Sabah yang menyalurkan bekalan ke kampung terbabit sekali gus menyebabkan penduduk termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Damit tiada bekalan air sejak malam tadi. 

Tanah runtuh itu turut menjejaskan talian telefon di kawasan berkenaan, namun usaha memulihkan kerosakan sudah dilaksanakan kontraktor Telekom Malaysia (TM). 

Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa akibat tanah runtuh berkenaan, manakala tahap keselamatan Jambatan Baru Tamparuli turut dilaporkan tidak terjejas berikutan kedudukan tanah runtuh berhampiran jambatan berkenaan. 

Sementara itu, Pegawai Jabatan Air Tuaran, Janih Bangud, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang berusaha memulihkan bekalan air ke kawasan berkenaan secepat mungkin. 

“Kakitangan Jabatan Air Tuaran dan kontraktor berada di lokasi kejadian sejak malam tadi untuk mengenal pasti kerosakan dan berusaha membaiki. 

Kita berharap ia dapat diselesaikan segera,” katanya, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, difahamkan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah dijangka melaksanakan kerja pembaikan di kawasan tanah runtuh dalam masa terdekat selepas membuat penilaian tahap kerosakan dan kaedah sesuai bagi menangani masalah berkenaan. - BH ONLINE

No comments