117 Pekerja Korea Utara Di Sarawak Diberi Seminggu Serah Diri.

KUCHING: Seramai 117 pekerja Korea Utara di Sarawak yang permit kerja mereka sudah tamat tempoh diberi masa seminggu mulai hari ini untuk menyerah diri kepada pihak Imigresen.


Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, majikan mereka juga diberi notis seminggu untuk menyerahkan pekerja masing-masing.

“Kita tahu di mana mereka berada daripada maklumat yang diterima. Kita akan mendapatkan mereka kerana permit kerja mereka sudah tamat dan oleh itu mereka dianggap pekerja haram.

“Namun, pertama sekali kita akan memberi mereka atau majikan mereka notis 1 minggu untuk secara sukarela menyerah mereka di bawah program pengampunan 3+1,” katanya pada majlis anugerah khidmat cemerlang dan surat penghargaan kepada anggota serta pegawai Imigresen oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mesir Kujat.

Mustafar berkata, setiap pekerja haram itu akan dikompaun RM300 dan RM100 (bagi pas pulang).

Beliau berkata, sekiranya pekerja dan majikan mereka bertegas untuk mengelak daripada Jabatan Imigresen, hukuman berat menanti mereka jika ditangkap kemudiannya.

Seramai 55 warga Korea Utara sudah dihantar pulang baru-baru ini, katanya.

“Kita ada 35 orang lagi yang permit kerja mereka akan tamat bulan depan. Oleh kerana kita masih mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara, tidak ada sebab kita akan menghantar pulang mereka,” tambahnya.

Beliau berkata, kebanyakan pekerja tersebut bekerja di lombong arang atau industri pembinaan.

Berhubung pekerja di Lombong Arang Selantik di Bahagian Sri Aman Division di sini, Mustafar berkata, semuanya sudah meninggalkan syarikat itu. - BERNAMA

No comments