Petani Ditemui Mati Ditelan Ular Sawa.

Mamuju, Indonesia: Misteri seorang petani yang tidak pulang ke rumah selama sehari selepas bekerja di ladang kelapa sawit terbongkar selepas dia ditemui mati ditelan seekor ular sawa kelmarin. 


Menurut Bangkapos.com, Akbar, 25, yang tinggal di Desa Salubiro di daerah Korossa keluar rumah pada pagi Ahad lalu untuk memetik buah kepala sawit di ladang miliknya. 

Bagaimanapun, hingga petang kelmarin Akbar tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarganya bimbang. 

Beberapa ahli keluarga Akbar dan dibantu penduduk kampung kemudian pergi ke ladang itu untuk mencari mangsa. 

Selepas beberapa jam mencari akhirnya mereka menemui seekor ular sawa yang kekenyangan berhampiran sebatang pokok kelapa sawit. 

Kerana curiga dengan perut ular sawa itu yang besar penduduk bertindak menangkap haiwan berkenaan dan membelah perutnya. 

Selepas dibelah, penduduk terkejut apabila menemui mayat Akbar di dalam perut ular sawa berkenaan. 

Seorang penduduk, Satriawan berkata, mayat Akbar masih berada dalam keadaan baik dan lengkap memakai seluar pendek dan berbaju. 

“Berdasarkan kedudukan mayat, mangsa ditelan dari kepala oleh ular sawa berkenaan. 

“Kemungkinan mangsa diserang ular sawa dari belakang dan ditelan hidup-hidup,” katanya. 




Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di kampung berkenaan. - Agensi/HMetro

Tonton video kejadian itu dibawah:

No comments