1 Maut Van Terjunam Dalam Loji Kumbahan.
BEAUFORT: Seorang lelaki maut manakala rakan sekerjanya cedera selepas van dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam loji kumbahan dalam proses pembinaan mengandungi air sedalam kira-kira enam meter, malam tadi.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa kejadian van terjunam ke dalam loji kumbahan di Beaufort, malam tadi. - Foto ihsan IPD Beaufort
Dalam kejadian jam 8.15 malam di Bulatan Klias Baru di Kilometer 4 Jalan Beaufort-Papar, dekat sini, penumpang van, Andrew Mustal, 27, terperangkap dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas.
Pemandu van, Elson Isos, 22, cedera ringan dan sempat menyelamatkan diri. Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata ketika kejadian kedua-dua mangsa yang bekerja di sebuah syarikat pemvaksinan anjing liar dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati, ketika tiba di tempat kejadian pemandu van tidak menyedari ada bulatan di hadapan lalu cuba mengelak ke kiri jalan.
“Bagaimanapun, van terbabit gagal dikawal lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam loji kumbahan mengandungi air sedalam kira-kira enam meter yang masih dalam proses pembinaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Azmir berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - BH ONLINE
Post a Comment