Warganegara Brunei Terlibat Kemalangan Di Limbang.
LIMBANG: Sebuah kereta jenis SUV dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah lagi kereta di kilometer 37, Jalan Batu Danau, berhampiran Kampung Bidang petang semalam.
REMUK..Kereta terbabas ke bahu jalan akibat rempuhan itu.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Limbang, Inspektor Ijan Abu berkata kejadian yang berlaku sekitar jam 3:10 petang itu menyebabkan tujuh individu warga Brunei mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar ke Hospital Limbang.
Menurut pihak polis, hasil siasatan awal mendapati bahawa kenderaan SUV itu datang dari arah bandar ke Tedungan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta dari arah Tedungan ke bandar Limbang.
Akibat perlanggaran itu jelasnya, kereta yang dilanggar yang membawa enam penumpang termasuk seorang pemandu itu terbabas ke tepi jalan.
“Pemandu kereta SUV dan enam penumpang kereta yang dilanggar itu dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan di Hospital Limbang sebelum dibawa ke Hospital Brunei untuk rawatan semalam,” katanya kepada media hari ini.
Jelas Ijan, identiti kesemua mangsa dalam kemalangan itu belum dapat dipastikan.
“Pemandu kereta SUV itu juga telah tampil ke balai polis Limbang untuk membuat laporan polis jam 12 tengah hari, tadi,” katanya lagi.
Sementara itu Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang memberitahu seramai tiga anggotanya turut berada di lokasi kejadian untuk membantu mangsa kemalangan.
Post a Comment