MPS Laksanakan Sistem Letak Kereta Berkupon Bermula 1 Mac.
SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan melaksanakan sistem letak kereta berkupon secara berperingkat di kawasan pusat bandar bermula 1 Mac depan.
Presiden MPS Datuk James Wong berkata dalam peringkat pertama sepanjang bulan depan, sistem letak kereta berkupon dilaksanakan dengan pada masa sama, sistem caj letak kereta sedia ada diteruskan.
Katanya sepanjang tempoh ini, peringatan mesra kepada pemilik kereta turut dikeluarkan oleh atendan letak kereta MPS mengenai pelaksanaan sistem berkupon.
Menurutnya dalam peringkat kedua pada April, sistem letak kereta berkupon dilaksanakan sepenuhnya dan sistem sedia ada dihentikan.
Pengeluaran kompaun dikuatkuasakan dengan pembayaran kompaun akan diganti dengan kupon letak kereta yang senilai dengan kompaun yang dikenakan, katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Wong berkata dalam peringkat ketiga pada Mei ini, sistem letak kereta berkupon ini dilaksanakan sepenuhnya dan pemilik kereta yang tidak mempamerkan kupon pada kereta mereka akan dikenakan kompaun berdasarkan warna petak letak kereta.
Katanya pelaksanaan sistem ini melibatkan perubahan kadar caj dan jenis tempat kereta awam berjumlah 1,641 petak. - Bernama
Post a Comment