Peluang Temui Mangsa Bot Karam Hidup Amat Tipis.

KOTA KINABALU: Hanya keajaiban diharapkan untuk menemui semua enam mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Pulau Mengalum, di sini, ditemui dalam keadaan selamat. 

Pulau Mengalum

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata kemungkinan untuk menemui mangsa dalam keadaan selamat agak tipis kerana mereka sudah hilang di laut selama lima hari. 

“Berdasarkan hukum alam, peluang mereka (mangsa) untuk hidup agak tipis, hanya keajaiban yang diharapkan ketika ini. Mengikut perkiraan kami juga, sekiranya mereka lemas, jasad mereka akan timbul pada hari ini, melainkan jika tersangkut di dasar laut.

“Selain itu, jaket keselamatan yang digunakan juga tidak akan mampu bertahan sehingga enam hari,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) APMM, di sini, sebentar tadi.

Adam berkata, operasi yang turut membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan diteruskan sehingga semua mangsa berjaya ditemui.

Mengulas mengenai operasi SAR setakat jam 4 petang tadi, Adam berkata sebanyak 22 aset dikerahkan membabitkan seramai 350 anggota pelbagai agensi keselamatan di Sabah, Sarawak dan Brunei.

“Kita juga juga memanjangkan maklumat kepada kapal-kapal yang melintasi lokasi pencarian supaya turut membantu mengesan mangsa yang hilang. “Selain itu, kita turut memaklumkan kepada kira-kira 180 bot nelayan di sekitar perairan ini untuk turut sama membantu dalam SAR,” katanya.

Sabtu lalu, sebuah bot katamaran dinaiki 31 orang termasuk tekong, dua kru dan 28 pelancong warga China dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, kira-kira 30 batu nautika dari jeti Tanjung Aru di sini, selepas tidak tiba ke destinasi pada hari yang sama.

Berikutan itu, operasi SAR diaktifkan mulai jam 9 malam pada hari yang sama sebelum berjaya menemui tekong dan seorang kru bot di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu pada jam 2 petang esoknya.

Seramai 22 mangsa pelancong warga China, termasuk tiga yang meninggal dunia, ditemui pada kira-kira jam 6 petang di perairan Semarang, Labuan oleh kapal nelayan yang melalui kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Adam mengesahkan mayat seorang lelaki yang ditemui di perairan Pulau Mamutik kira-kira jam 10.20 pagi tadi, bukan mangsa bot karam berkenaan. Sebaliknya, kata Adam, mayat terbabit adalah mangsa yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing bersama tiga rakannya di Pulau Dinawan, Papar, pada Ahad lalu.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz memberi taklimat perjalanan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pusat Gerakan Operasi APMM, Kota Kinabalu, sebentar tadi. - Foto Mohd Adam Arinin

No comments