Skuad Bola Wanita Dapat Sembilan Muka Baru.

Sembilan muka baharu antara 25 pemain yang dipanggil ketua jurulatih skuad wanita negara, Mohd Asyraaf Abdullah bagi mengikuti kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2017.


Menurut kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, kesemua pelatih akan mula melaporkan diri di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, pada Selasa ini.

Sembilan pemain baharu itu adalah Sanizah Dualin (Sabah), Fedalliah Claritta Jaimin (Sabah), Siti Rohani Sapthu (Sarawak), Puteri Nor Alisa Wilkinson (Pahang), Dhiya Fatihah Ahmad Razali (Kedah), Nor Atikah Abdul Wahab (ATM) serta Anis Aisyah Asiati, Nor Athirah Mamat dan Rosdianah Adeline Jerus dari Sekolah Sukan Malaysia Sabah.

Sementara 16 pelatih dikekalkan daripada skuad 23 pemain yang beraksi pada Kejuaraan Wanita AFF di Myanmar pada Ogos lepas.
"Saya menggugurkan tujuh pemain daripada skuad Kejuaraan Wanita AFF yang lalu kerana daripada pemerhatian saya, pemain-pemain ini masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan tahap fizikal perlawanan antarabangsa.

"Saya juga mahu mencuba pemain-pemain baharu dan saya lihat sembilan pemain baharu yang dipanggil kali ini lebih agresif dari segi corak permainannya," kata Mohd Asyraaf.

Mohd Asyraaf berkata beliau kekal positif untuk melihat peningkatan pasukan itu selepas mampu memberi tentangan kepada pasukan-pasukan handalan seperti Australia dan Myanmar pada Kejuaraan Wanita AFF walaupun melalui tempoh persediaan singkat.

Katanya kejohanan seperti Liga Bolasepak Rakyat (Wanita) 2017 dan Piala Tun Sharifah Rodziah 2017 akan dijadikan landasan bagi mengenal pasti bakat-bakat baharu untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan pada Sukan SEA tahun depan.

Senarai 25 pelatih:

Yasrikalaura Tumas, Fedalliah Claritta Jaimin, Usliza Usman, Sanizah Dualin, Haindee Mosroh, Asma Junaidi, Shereilynn Elly Pius, Jaciah Jumilis, Dadree Rofinus, Masturah Majid dan Eslisah Esar (Sabah); Siti Rohani Sapthu (Sarawak), Malini Nordin (Negeri Sembilan), Puteri Nor Alisa Wilkinson (Pahang), Angela Kais (PDRM), Nor haniza Saarani (Perak), Dhiya Fatihah Ahmad Razali (Kedah), Nor Atikah Abdul Wahab dan Roszaini Bakar (ATM), Anis Aisyah Asiati, Nor Athirah Mamat, Rosdianah Adeline Jerus, Nurul Azurin Mazlan, Nur Athirah Farhanah Zairi dan Marcella Angela Parais (Sekolah Sukan Malaysia Sabah). -Bernama