Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia WSF, Nicol Ketuai Pasukan Malaysia.

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David akan mengetuai cabaran Malaysia di Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) di Issy-les-Moulineaux, Perancis dari 27 Nov hingga 3 Disember.


Selain Nicol, tiga pemain lain adalah Delia Arnold, Low Wee Wern dan S.Sivasangari, yang akan membuat penampilan pertama dalam kejohanan dua tahun sekali itu.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), S. Maniam ketika mengumumkan skuad itu berkata Sivasangari dipilih berdasarkan prestasinya dalam Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia (SSJM) tahun ini.

"Tiga pemain terbaik negara itu sememangnya sudah terjamin tempat mereka.

Kami memutuskan untuk memilih Sivasangari selepas dia membayangi Rachel Arnold dalam dua kejohanan SSJM di Pulau Pinang dan Perlis yang menjadi kriteria pemilihan.
"Sivasangari juga melalui musim yang agak baik tahun ini dengan memenangi kesemua enam gelaran dalam SSJM, juara Remaja Asia (Bawah 19 tahun) pada September lalu dan menduduki tempat ketiga di Kejohanan Remaja Dunia di Poland, Ogos lepas," kata Maniam dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 32 pasukan akan mengambil bahagian di Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia itu dan SRAM meletakkan sasaran tempat keempat pada edisi kali ini.

Pada edisi 2014 di Kanada, Malaysia yang diwakili Nicol, Wee Wern, Delia dan Vanessa Raj, mengejutkan pilihan utama Mesir 2-0 di separuh akhir sebelum tunduk kepada pilihan kedua, England 2-1 di final.

Menurut Maniam, walaupun Malaysia muncul naib juara pada edisi lalu, kali ini skuad negara perlu berhati-hati dengan pasukan handalan seperti Mesir dan England.

Sementara itu, Sivasangari berkata beliau terharu diberi penghormatan mewakili negara di kejohanan tersebut.

"Ini adalah kali pertama saya bermain bersama Nicol, Delia dan Wee Wern dalam satu pasukan. Saya akan memberikan yang terbaik bagi membanggakan negara," kata pemain berusia 17 tahun itu.

Bagi Delia dan Wee Wern, beraksi di kejohanan itu sememangnya mencabar tetapi merupakan pengalaman yang cukup menarik.

"Kami tidak sabar untuk beraksi di kejohanan ini dan mahu melakukan yang terbaik untuk negara. Kami begitu hampir daripada menjuarainya pada edisi lalu.

Harapan kami dapat mencatat keputusan yang lebih baik kali ini," kata Delia. -Bernama