Mahkamah Gantung Sementara Keputusan Mohon Penjarakan Awie.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menggantung keputusan permohonan Rozana Misbun untuk memenjarakan (komital) bekas suaminya penyanyi rock kumpulan Wings, Awie kerana ingkar tiga perintah mahkamah.


Perkara itu diputuskan Hakim Syarie Amran Mat Zain yang dibacakan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nor'azura Jamaluddin pada prosiding kes itu hari ini.

Peguam Mohd Syafik Norizan yang ditemui pemberita sejurus selesai prosiding memaklumkan mahkamah menggantung keputusan berkenaan susulan permohonan anak guamnya (Awie) masih dalam proses semakan di Mahkamah Rayuan Syariah.

Menurutnya Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan yang melangkaui bidang kuasa Mahkamah Rayuan.

"Sehingga kini permohonan di Mahkamah Rayuan masih dalam prosiding dan kita tunggu sahaja apa-apa keputusan yang akan dikeluarkan dalam tempoh dua bulan lagi, katanya.

Beliau turut memaklumkan, mahkamah menetapkan 20 Oktober depan untuk sebutan semula kes itu. Rozana selaku pemohon menuntut Awie dikenakan tindakan susulan ingkar tiga perintah mahkamah.

Pada 24 November tahun lalu, Rozana telah memfailkan permohonan tersebut menerusi peguam syarie Nor Azmi Mohd. Arif mengikut Seksyen 151(1) (a)(b) Akta Tatacara Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998 dan Seksyen 151(aa) 229(1) akta sama.

Tiga perintah tersebut berhubung hak penjagaan sementara anak sulungnya Putera Ahmad Merrah, 9, serta dua perintah pembayaran kos mahkamah masing-masing berjumlah RM900 dan RM5,000.

Dalam permohonan itu Awie, 48, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berdepan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2000 sekiranya gagal memberikan tunjuk sebab mengapa dia tidak boleh dikenakan hukuman berkenaan kerana ingkar perintah mahkamah.

Dua lagi anak pasangan itu iaitu Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6, berada di bawah jagaan Rozana selepas mahkamah memberikan hak jagaan sementara terhadap bekas isteri penyanyi itu pada 27 Januari tahun lalu.

Pasangan itu bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak. Semantara itu, Awie yang ditemui berkata, dia mahukan sesuatu keputusan yang berpihak kepadanya. - Bernama

No comments