'Panggil Presiden Sahaja' - Duterte

MANILA: Presiden Filipina Rodriogo Duterte semalam memberitahu pegawainya supaya tidak membahasakan dirinya dengan gelaran ‘Tuan Yang Terutama.’


Dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Duterte, 71, hanya mahu dirujuk sebagai ‘Presiden’ dalam semua bentuk komunikasi rasmi.

Tindakan presiden Filipina yang pertama berasal dari Pulau Mindanao itu mengukuhkan lagi imejnya sebagai orang luar yang tertumpu kepada tindakan brutalnya dalam memerangi keganasan, bukan sebagai presiden yang menjalani kehidupan mewah di istana.

“Dalam mengekalkan gaya populisnya, dia menggalakkan supaya mengurangkan bahasa ‘istiadat,” kata jurucakap Duterte, Ernie Abella.

Di negara yang orang kenamaan sering diberi penghormatan seperti ‘puan’ dan ‘tuan,’ Duterte juga mengarahkan Kabinetnya hanya dipanggil ‘Setiausaha,’ bukan ‘Yang Berhormat.’

Sejak menjadi presiden 30 Jun lalu, Duterte berulang kali melanggar tradisi, termasuk memilih untuk mengangkat sumpah jawatan di istana presiden, bukan di taman terbuka.

Ia bagi mengelak kesesakan jalan raya di Manila.

Cara berpakaian presiden juga berubah dengan Duterte memakai jean di perbarisan tentera dan mengelak memakai ‘barong,’ baju tradisi Filipina yang selalunya dipakai di majlis rasmi.

Untuk majlis ucapan pertamanya kepada Kongres Isnin depan, Duterte mengarahkan tetamu memakai pakaian biasa, bukan pakaian mahal atau gaun panjang menjolok mata.

Karpet merah juga tidak akan disediakan seperti sebelum ini.

“Acara itu akan diadakan secara sederhana. Ia bukan pertunjukan fesyen,” kata seorang jurucakapnya. - AFP

No comments