SOP Dipinda, Rumah Terbuka, Kunjung-Mengunjung Dan Ziarah Kubur Tidak Dibenarkan Sempena Aidiladha.

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Majlis rumah terbuka, jamuan, kunjung-mengunjung dan ziarah tanah perkuburan sempena sambutan Aidiladha 2021, tidak dibenarkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun, berkata semua aktiviti perayaan Aidiladha dalam lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga tidak dibenarkan.

Selain itu katanya, bilangan jemaah disemua Masjid dan Surau untuk solat sunat Aidiladha, solat Jumaat dan solat lima waktu adalah dikurangkan kepada satu pertiga (1/3) kapasiti ruang atau maksima 30 orang jemaah yang mana lebih rendah.

"Bilangan pengendali sembelihan binatang korban juga turut dikurangkan kepada 15 orang sahaja," katanya dalam kenyataan harian hari ini.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 menjelaskan, merujuk kepada peningkatan harian kes positif di seluruh Sabah, Kerajaan Negeri terpaksa mengambil keputusan untuk meminda SOP sedia ada bagi aktiviti-aktiviti sambutan Aidiladha 2021.

Menurut Masidi, terdapat 647 kes positif COVID-19 di Negeri Sabah pada hari ini (17 Julai). Peningkatan besar itu adalah disebabkan saringan besar-besaran yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri untuk membendung penularan dalam komuniti.

"Pecahan kes adalah terdiri daripada 44.4% (287 kes) kluster sedia ada dan 34% (220 kes) saringan kontak rapat.

"Daripada jumlah keseluruhan ini, 32% (204 kes) adalah daripada Penjara Kepayan," jelas beliau.

No comments