Hanya Kerana Hutang RM21.


SIBU: Gara-gara menagih hutang hanya RM21 daripada dua lelaki, seorang lelaki cedera parah selepas dikelar di leher, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin di Taman Kristal, Sibu Jaya, mangsa, 45, yang merupakan seorang buruh, cedera di leher, calar di bahu dan kanan hidung serta bengkak mata kanan akibat ditumbuk.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berada di rumah didatangi dua suspek berumur 20-an.

"Ketika sesi minum arak, mangsa menagih hutang sebanyak RM21, namun tidak dijawab oleh kedua-sua suspek yang kemudian beredar dan datang semula ke kediaman mangsa," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa kemudian diserang kedua-dua suspek dengan salah seorang memegang kepala mangsa dan menumbuknya.

"Seorang lagi suspek bertindak mengeluarkan objek tajam lalu dilibas ke arah mangsa sebelum kedua-dua suspek melarikan diri," ujarnya.

Stanley berkata, mangsa kemudian berjalan kaki ke Balai Polis Sibu Jaya untuk mendapat bantuan sebelum dihantar ke Klinik Sibu Jaya dan dirujuk ke Hospital Sibu.

Leher mangsa yang dibalut selepas menjalani pembedahan.

Katanya, menurut doktor kecederaan mangsa agak serius, namun bernasib baik kerana tidak terkena organ penting di bahagian leher dan memerlukan pembedahan.

Bertindak atas maklumat, pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sibu kemudian berjaya menangkap seorang suspek berusia 20 tahun di Jalan Barat Sibu Jaya sekitar jam 11 malam kelmarin.

Stanley berkata, seorang lagi lelaki masih bebas dan usaha mengesan suspek utama masih giat dijalankan.

"Suspek akan direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh," tambah beliau. - UtusanBorneo

No comments