Lelaki Jadikan Kanak-kanak 2 Tahun Sebagai Tebusan Ditembak Mati Di Tuaran.

Gambar yang tular di media sosial menunjukkan saat cemas semasa suspek mendukung kanak-kanak tersebut sambil mengacukan pisau ke lehernya. Gambar media sosial 

KOTA KINABALU: Insiden cemas seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun dijadikan tebusan oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau berakhir dengan suspek ditembak mati oleh pasukan polis di perumahan Telipok Ria dekat sini hari ini.

Sebelum itu, pihak polis cuba berunding dengan suspek untuk membebaskan kanak-kanak tersebut dan menyerah diri namun usaha tersebut gagal.

Suspek ditembak mati ketika cuba menghumban kanak-kanak itu dari jendela dapur. Gambar SNT/Sumber media sosial

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah yang berada di tempat kejadian ketika ditemui berkata pihak polis melepaskan tembakan ketika suspek berniat membuang kanak-kanak tersebut dari jendela dapur rumah yang dimasukinya di tingkat empat.

Sejurus selepas suspek ditembak pada pukul 5.35 petang, kanak-kanak tersebut terus dibawa menaiki ambulan bagi mendapatkan rawatan di hospital.

Siasatan awal mendapati kejadian bermula lebih kurang jam 1 petang bila suspek pergi ke sebuah gerai di tingkat empat rumah pangsa tersebut untuk membeli sesuatu.

Namun, katanya suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau dan menangkap salah seorang kanak-kanak yang ada berdekatannya.

Seterusnya, suspek membawa budak ini ke salah sebuah rumah di tingkat yang sama.

“Ketika suspek masuk ke rumah tersebut, beliau menendang pintu rumah sehingga pecah dan mendapati terdapat seorang lelaki penghuni rumah tersebut sedang sembahyang.

“Suspek mengarahkan penghuni rumah tersebut keluar. Oleh kerana pemilik rumah ternampak suspek memegang pisau, diapun lari keluar,” katanya.

Kanak-kanak yang diselamatkan itu dibawa ke ambulan untuk dihantar ke hospital. Gambar SNT/ sumber media sosial 

Omar berkata suspek meletakkan pisau tersebut di bahagian leher kanak-kanak sehingga mangsa mengalami kecederan di leher.

Siasatan ditempat kejadian, katanya maklumat suspek tidak diperolehi dan suspek dipercayai bukan penghuni di kawasan berkenaan. Polis juga masih menyiasat motif suspek.

Sumber

No comments