Tuaran Diisytihar Kawasan Wabak Selesema Burung (Avian Influenza).

JUNZ Wong. - Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), melalui Pegawai Daerah Tuaran, mengisytiharkan daerah Tuaran sebagai kawasan wabak selesema burung.

Ia susulan sampel yang diuji pada 31 Julai lalu mendapati sebuah ladang merekodkan hasil yang positif untuk penyakit selesema burung atau Avian Influenza.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Junz Wong berkata, bagi membendung wabak daripada merebak ke daerah lain, JPV akan melaksanakan pelupusan semua unggas yang terdapat sekitar satu kilometer (km) radius dari lokasi ladang terbabit.

“Jarak untuk pelupusan unggas ini akan diperluas sehingga 5 km radius jika hasil survalen mendapati sampel positif di luar kawasan satu km itu.

“Pasukan penguatkuasa JPV Sabah juga akan memastikan tiada unggas dibawa keluar dari kawasan wabak,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam ini.

Wong berkata, sebelum ini memang berlaku kematian ayam yang tinggi di ladang, namun berdasarkan 939 sampel yang diuji ketika itu secara berterusan mendapati semuanya negatif bagi jangkitan penyakit.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan daging ayam dan telur yang dijual di pasaran adalah selamat untuk dimakan kerana sudah melalui pemeriksaan ketat sebelum dipasarkan.

“Memasak dengan sempurna adalah perlu kerana virus amat mudah dimusnahkan dengan haba,” katanya.

Beliau juga meminta penternak unggas di negeri ini untuk memaklumkan kepada pejabat JPV terdekat sekiranya terdapat kematian ayam melebihi tiga peratus dalam satu masa di kawasan masing-masing.

“Di samping itu, orang ramai dinasihatkan tidak risau mengenai dengan wabak ini kerana kawasan yang terbabit akan dikawal sepenuhnya dalam tempoh sebulan. - BH Online

No comments