Peniaga di 1Borneo Gusar, Jualan Merudum Hingga 80 Peratus.

Pusat membeli-belah ini beroperasi tanpa penghawa dingin sejak 11 Julai.

KOTA KINABALU: Pengusaha premis di kompleks 1Borneo Hypermall semakin gusar apabila perniagaan mereka merudum sehingga 80 peratus berikutan kekurangan jumlah pengunjung susulan ketiadaan pendingin hawa di pusat beli-belah itu.

Rata-rata pengusaha bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian, malah tertekan kerana tiada tempoh yang dapat diberikan pihak pengurusan bagi menyelesaikan masalah berkenaan susulan kegagalan menjelaskan tunggakan bil elektrik lebih RM8.7 juta.

Keadaan itu berlaku apabila Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memotong bekalan elektrik di 1Borneo Hypermall membabitkan bahagian pendingin hawa, minggu lalu, selepas pihak pengurusan masih gagal menjelaskan tunggakan bil walaupun notis diberikan beberapa kali sebelum ini.

Tinjauan NSTP di pusat beli-belah yang menempatkan lebih 500 peniaga itu mendapati, keadaan sangat lengang dengan individu yang berada di pusat beli-belah itu sebahagian besarnya adalah peniaga dan pekerja.

Keadaan panas di dalam pusat beli-belah itu jelas terasa, terutama selepas sekitar jam 12 tengah hari dengan beberapa pemilik dan pekerja premis perniagaan dilihat membawa kipas angin sendiri untuk menyejukkan badan.

Peniaga kafe yang hanya mahu dikenali sebagai Zulfian, 42, berkata ketiadaan pendingin hawa sememangnya menjejaskan perniagaannya.

Katanya, selepas lebih seminggu beroperasi tanpa pendingin hawa, tidak ramai pelanggan datang sehingga perniagaannya terjejas teruk.

“Kami harap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Kami hanya bergantung harap kepada perniagaan di sini untuk cari makan. Kami terpaksa beli kipas untuk keselesaan pelanggan namun itu tidak cukup kerana keadaan yang sangat panas,” katanya.

PEKERJA di pusat beli belah 1Borneo terpaksa menggunakan kipas angin untuk menyejukkan diri berikutan ketiadaan penghawa dingin di kompleks beli belah 1 Borneo, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Pekerja kedai cermin mata, Eby Rochelle Jusili, 20, berkata keadaan pusat beli-belah yang tiada pendingin hawa bukan sahaja menyebabkan pelanggan semakin berkurangan, malah dia terpaksa bekerja dalam keadaan panas dan tidak selesa.

“Jualan semakin teruk, bayangkan semalam tiada seorang pun pelanggan masuk ke kedai kami,” katanya.

Semalam, 1Borneo Management Corporation (1BMC) yang menguruskan pusat beli-belah itu dalam kenyataannya, berkata pihaknya masih berunding dengan SESB mengenai pelan penyelesaian yang dicadangkan untuk pembayaran bil dan penyambungan semula bekalan elektrik pusat beli-belah itu.

Katanya, jika tiada penyelesaian dicapai, 1Borneo Hypermall mungkin terpaksa ditutup. - BH Online

No comments