Papan Tanda Amaran Buaya Dipasang.

PAPAN tanda amaran mengenai kehadiran buaya diletakkan di kolam tebatan banjir Likas di Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) memasang papan tanda amaran susulan kehadiran buaya yang dilaporkan ditemui oleh orang ramai di kolam tebatan banjir Likas, dekat sini, baru-baru ini.

Jurucakap JHL Sabah, Siti Nur’Ain Ampuan Acheh, berkata pihaknya memasang papan tanda amaran itu di tiga lokasi berhampiran kolam berkenaan.

Katanya, papan tanda amaran itu dipasang untuk memberi amaran kepada orang awam agar sentiasa berhati-hati dan tidak memasuki kawasan kolam terbabit sama ada untuk beriadah, memukat atau memancing ikan.

PETUGAS Jabatan Hidupan Liar Sabah memeriksa perangkap buaya yang dipasang di di kolam tebatan banjir Likas di Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar

“Kita memandang serius aduan berkaitan buaya dan pastinya tidak mahu berlaku sebarang kejadian membabitkan nyawa.

“Oleh itu, kita harap orang awam mematuhi arahan sehingga kita berjaya menangkap buaya di kawasan terbabit,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Siti Nur’Ain berkata, buaya yang dilaporkan berada di kolam terbabit sehingga kini belum ditangkap.

“Kakitangan Unit Penyelamat Hidupan Liar dari JHL sudah memasang beberapa perangkap dan membuat tinjauan dua kali sehari di kawasan berkenaan,” katanya.

Minggu lalu, JHL Sabah memasang dua perangkap buaya di sekitar kolam tebatan banjir Likas susulan laporan penemuan reptilia itu. - Mohd Nazllie Zainul/BH Online

No comments