Lelaki Ditemui Tertiarap Dipercayai Mati Lemas Di Pantai Tanjung Aru.

Foto: Facebook Polis Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 4 Feb: Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tertiarap dipercayai mati lemas di Pantai Tanjung Aru dekat sini, semalam.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira 6.05 petang itu, Lim Chung Wui, 56, ditemukan oleh orang awam dalam keadaan tertiarap di pantai berkenaan sebelum mangsa ditarik untuk diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tidak berjaya.

“Orang awam kemudian menghubungi pihak Hospital Queen Elizabeth dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia , namun punca kematian belum dapat disahkan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. Mayat mangsa hanya akan dibedah siasat apabila waris mangsa dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Chandra berkata pemeriksaan semula di tempat letak kereta di pantai itu, polis menjumpai kenderaan milik mangsa jenis Proton Saga selain dokumen pengenalan diri dan barang peribadi lelaki terbabit.

Foto: Facebook Polis Kota Kinabalu

Foto: Facebook Polis Kota Kinabalu

Orang ramai yang mengenali mangsa diminta memaklumkan kejadian tersebut kepada waris dan ahli keluarga mangsa serta mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ketua Balai Polis Tanjung Aru, Sub Inspektor Wagiman Seno yang juga pegawai penyiasat di talian 016-8436999. - BERNAMA