Banjir Di Kota Belud Terburuk Dalam Tempoh 57 Tahun.
KOTA BELUD: Banjir yang melanda daerah ini sejak Selasa lalu disifatkan sebagai yang terburuk dalam tempoh 57 tahun sejak 1960.
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (dua dari kiri) melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Dewan Tun Said, Kota Belud. - Foto Suzianah Jiffar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata ia berikutan ada kawasan tidak pernah dinaiki air sejak tahun 1960, kini turut terjejas.
“Saya dimaklumkan banjir di Kota Belud kali ini adalah yang terburuk sejak kejadian pada 1960. Ini kerana ada antara kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air kini banjir malah penduduknya terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.
“Saya juga dimaklumkan, setakat ini lebih 2,100 penduduk dipindahkan dari 26 kampung di seluruh daerah ini.
“Kita di Kota Belud amat terasa kerana keadaan sungai di daerah ini semakin cetek malah sudah berubah wajah,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Dewan Tun Said, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Kota Belud, Gari Itam.
Sehubungan itu, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud mahu tindakan segera diambil semua pihak bagi menghadapi bencana berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada semua jabatan dan agensi keselamatan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.
Katanya, sebanyak 61 banjir kilat berlaku sepanjang tahun ini di daerah ini, tidak termasuk banjir besar yang berlaku sejak Selasa lalu.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah berbincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai masalah itu dan setakat ini dua projek membesar serta meluruskan sungai sedang dilakukan dengan kos kira-kira RM70 juta.
Dalam hal berkaitan, Abdul Rahman berkata tindakan pantas perlu diambil termasuk mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana dengan lebih awal jika menerima maklumat berkaitan taufan dan hujan lebat di negara jiran.
Ini kerana katanya dalam era teknologi masa kini, maklumat lebih awal diketahui berkaitan cuaca atau taufan yang akan berlaku termasuk dari negara jiran yang berdekatan.
“Walaupun kita tidak menerima kesan taufan secara terus, mungkin hanya ekornya saja seperti dari Filipina, namun maklumat ini sudah pasti diterima lebih awal mungkin dalam dua hari lebih awal.
“Dengan maklumat lebih awal ini, modus operandi kita dalam menangani kejadian ini perlu berubah. Kita tidak lagi sekadar bersiap sedia, sebaliknya aktifkan segera semua pihak yang terbabit dalam pengurusan bencana sehari atau dua hari lebih awal sejurus menerima maklumat.
“Kita perlu aktifkan segera pihak yang terbabit dalam menyelamat, aset mereka, pusat pemindahan dan juga siapa yang menyediakan makanan serta minuman sebelum banjir,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 13 kampung dengan 272 penduduk berada di pusat pemindahan sementara di Dewan Tun Said setakat ini.
Selain Dewan Tun Said, pusat pemindahan lain ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Said, Dewan Muhibah Tombol, SMK Taun Gusi Satu, Dewan SMK Arshad dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan.
Lokasi lain ialah di Dewan SK Taun Gusi, Dewan Gopog Taginambur dan Dewan Kompleks Sukan Butong susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan juga mendapati semua jalan utama ke Kota Belud kini boleh dilalui. - BH ONLINE
Post a Comment