Kesihatan Puntung, Si Badak Sumatera Membimbangkan - SWD
KOTA KINABALU: Seekor daripada tiga ekor badak sumbu Sumatera yang ada di Malaysia, Puntung, kini kritikal berikutan terdapat abses (bengkak yang bernanah) di dalam rahang atasnya yang tidak bertindak balas terhadap rawatan antibiotik.
PUNTUNG diberikan rawatan di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu. - Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) Augustine Tuuga berkata keadaan itu membimbangkan kerana terdapat tanda-tanda bahawa jangkitan itu agak dalam dan mungkin merebak lebih dalam.
“Kami bimbang dengan ‘sepsis’, jangkitan yang boleh merebak dengan cepat melalui badan dan menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance Datuk John Payne berkata kehilangan Puntung nanti akan menjadi satu tragedi kerana badak sumbu betina itu berpotensi mengeluarkan telur untuk disenyawakan bagi beberapa tahun lagi.
“Kami menjangkakan Puntung berumur sekitar 25 tahun. Badak sumbu Sumatera mempunyai jangka hayat kira-kira 35 tahun,” katanya dan menambah doktor veterinar Dr Zainal Zahari Zainuddin telah menjaga Puntung sejak haiwan itu ditangkap dan kini melakukan yang terbaik untuk merawat Puntung.
Sabah merupakan habitat kepada hanya tiga ekor daripada berpuluh ekor badak sumbu Sumatera yang kini semakin diancam kepupusan dan bakinya berada di Indonesia.
Borneo Rhino Alliance, sebuah badan bukan kerajaan yang diberikan kontrak oleh SWD, menjaga kesemua tiga ekor badak sumbu tersebut di Santuari Badak Sumbu Borneo di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.
Puntung ditangkap pada 2011 dan mendapati haiwan itu adalah badak sumbu liar terakhir yang tinggal di kawasan itu, sekali gus membolehkan badak betina itu mengawan dengan badak jantan, Tam, dalam kandang berpagar, bertujuan mencegah kepupusan spesies berkenaan.
Bagaimanapun, Puntung didapati mempunyai sista teruk yang melapisi rahimnya dan sukar diubati, menyebabkan haiwan itu tidak dapat bunting.
PUNTUNG diberikan rawatan di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu. - Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Sejak 2014, dengan penangkapan seekor lagi badak sumbu betina di Sabah, usaha telah dilakukan untuk cuba menjadikan embrio badak menerusi persenyawaan in vitro dengan menggabungkan sperma dan telur di dalam makmal. - BERNAMA
Post a Comment