Semua 5 Tebusan Rakyat Malaysia Berjaya Diselamatkan.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengesahkan semua lima rakyat Malaysia yang diculik Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina. 


Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan dua daripada mereka yang dibawa pulang iaitu Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Sumas, 62, di kediamannya pagi tadi selepas dipertemukan dengan keluarga masing-masing. 

Katanya, tiga lagi yang diselamatkan iaitu Fandy Bakran, 26; Mohd Ridzuan Ismail, 33; dan Mohamad Jumadil Rahim, 23; kini dirawat di hospital tentera di Filipina. 

“Alhamdulillah, sukacita saya maklumkan bahawa kelima-lima rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf selama lebih 8 bulan telah berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina. 

“Sebentar tadi, saya dimaklumkan 3 lagi rakyat Malaysia, Fandy Bakran, Mohd Ridzuan Ismail dan Mohamad Jumadil Rahim juga sudah diselamatkan dan kini sedang dirawat di hospital tentera di Filipina,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya, hari ini. 

Najib turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan tentera Filipina atas tindakan dan kecekapan mereka menyelamatkan semua rakyat Malaysia yang diculik pengganas Abu Sayyaf. 

Semua mangsa yang juga kru kapal tunda Serudong 3 diculik ketika di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah pada 28 Julai tahun lalu. Ketika itu, kapal berkenaan dalam perjalanan ke Semporna selepas menghantar pasir ke Sandakan. - BH ONLINE

No comments