Pemilik Ladang Diminta Tanggung Kos Pindah Gajah.
BELURAN: Pemilik ladang kelapa sawit diminta menanggung kos pemindahan gajah ke habitat semulajadi bagi meninimumkan risiko kepupusan spesies berkenaan serta mengelak kerosakan harta benda dan kawasan pertanian.
Gajah liar yang ditangkap diletakkan dalam kandang untuk dipindahkan ke Hutan SImpan. - Foto ihsan JHLS
Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sandakan, Hussein Muin berkata kerjasama pemilik ladang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat kampung diperlukan dalam menjalankan usaha konservasi gajah liar di negeri ini.
Katanya, kos pemindahan seekor gajah dianggarkan sebanyak RM30,000 manakala kos pemasangan kolar satelit untuk memantau pergerakan haiwan itu berjumlah RM15,000 hingga RM20,000 untuk seekor gajah.
Justeru, pemilik ladang seharusnya memberikan kerjasama dari segi komitmen menanggung kos pemindahan gajah, katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Konflik Gajah dan Manusia di Kampung Ulu Muanad dekat sini, semalam.
Katanya, penduduk kampung juga diminta melapor segera kepada jabatannya jika ada gangguan atau kehadiran gajah berhampiran kawasan mereka.
Ini, katanya, bagi membolehkan unit penyelamat hidupan liar mengambil tindakan segera termasuk melakukan pemindahan gajah ke kawasan hutan simpan.
Mesyuarat di Ladang IJM Desa Talisai itu dihadiri penduduk kampung Ulu Muanad, wakil 14 ladang kelapa sawit, NGOs, Pusat Lapangan Danau Girang dan The Forest Trust, wakil Lembaga Minyak Sawit Berhad dan Pejabat Parlimen Beluran. - BERNAMA
Post a Comment