PBS Pertahankan 13 Kerusi DUN Pada PRU 14 - Mositun
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mempertahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Agungnya Datuk Johnny Mositun.
PBS juga bersedia untuk bertanding lebih daripada 13 kerusi jika parti itu diberikan kawasan DUN baharu oleh pucuk pimpinan, katanya pada sidang media mengenai ulang tahun PBS ke-32 di sini hari ini.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Kiulu Datuk Joniston Bangkuai dan beberapa anggota parti yang lain.
Mengenai ulang tahun PBS, Mositun berkata, sambutan itu sepatutnya diraikan pada 5 Mac tahun ini, tetapi ia terpaksa diadakan sehari lebih awal iaitu pada 4 Mac kerana kebanyakan pimpinan negeri dan parti mempunyai komitmen lain.
Sementara itu, Joniston berkata, sambutan ulang tahun itu bertujuan mengumpul semua anggota parti sekali gus memupuk kesedaran terhadap pentingnya bersatu padu bagi memastikan parti menang besar pada pilihan raya umum akan datang. “Ini juga adalah masa untuk semua anggota parti bersatu bagi menghadapi pilihan raya,” katanya. - BERNAMA


Post a Comment