Kami Mahu Segera Pulang Ke Tanah Air.
KOTA KINABALU: “Kami bertiga mahu segera pulang ke tanah air,” kata mangsa culik, Fandy Bakran, 26. Fandy berkata demikian dalam satu sidang media kepada wartawan Filipina di Zamboanga, dekat selatan negara jiran itu, hari ini.
Rakaman video kenyataan Fandy berdurasi selama 16 saat itu dimuatnaik sebuah portal berita Filipina menerusi laman Twitter, sebentar tadi.
Menerusi rakaman itu, Fandy kelihatan yang duduk di atas kerusi bersama dua lagi mangsa culik warga Malaysia, Mohamad Jumadil Rahim, 23, dan Mohd Ridzuan Ismail, 32.
Mereka kelihatan cengkung dan semuanya memakai baju serta seluar berwarna biru.
Fandy yang bercakap bagi pihak dua lagi mangsa, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan mereka, terutama pasukan keselamatan Filipina.
Ketiga-tiga tebusan yang berada dalam tawanan kumpulan Abu Sayyaf sejak lebih lapan bulan lalu, diselamatkan pihak keselamatan Filipina dalam operasi di sebuah kampung di Panglima Estino, Wilayah Sulu, jam 11.30 malam tadi.
Mereka adalah antara lima kru kapal tunda yang diculik di perairan Dent Heaven di Lahad Datu pada 18 Julai tahun lalu, ketika perjalanan ke Semporna selepas menghantar pasir di Sandakan.
Pagi tadi, dua mangsa culik, Abdul Rahim Summas, 62, dan Tayudin Anjut, 45, yang diselamatkan pada awal Khamis lalu, diserahkan kepada keluarga masing-masing dalam majlis dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur. - BH ONLINE
Post a Comment