UMNO Yakin 3 Kerusi DUN Di Kawasan Parlimen Silam Kekal Milik BN.

LAHAD DATU: UMNO Bahagian Silam berikrar akan memastikan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kunak, Lahad Datu dan Tungku serta satu kawasan Parlimen (Silam) kekal di bawah pemerintahan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang. 

Sapawi menyerahkan bendera BN kepada Yusof.

Ketuanya, Datuk Muhammad Yusof Apdal berkata, berdasarkan situasi semasa beliau melahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO akan memenangi semua kerusi di kawasan bahagian Silam. 

“Saya rasa kita sudah bersedia sejak selepas pilihan raya lepas dan bukannya bermusim, kini kita hanya mengemaskini persediaan untuk menghadapi pilihan raya, tetapi sokongan dan keyakinan rakyat di kawasan Silam ini masih berada pada tahap yang tinggi untuk menyokong Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan Jawatankuasa Khas Badan Perhubungan UMNO Sabah yang diketuai oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Sabah,Datuk Sapawi Ahmad ke UMNO Bahagian Silam di Lahad Datu hari ini. 

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Kadzim Yahya, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Silam, Mizma Appehdullah dan Ketua Puteri UMNO Silam, Zuraidah Asdain. 

Pada masa yang sama, beliau berterima kasih kepada Badan Perhubungan UMNO Sabah yang telah memberikan suntikan idea dalam memperkemaskan lagi persediaan UMNO Silam dalam menghadapi pilihan raya. 

Sementara itu, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad berpuas hati dengan persiapan jentera pilihan raya UMNO Zon 6 yang terdiri daripada UMNO Kalabakan, Tawau, Semporna dan Silam selepas mengadakan lawatan ke bahagian tersebut. 

Katanya, semangat, gerak kerja dan kesatuan telah dapat dibuktikan sepanjang lawatan tersebut dan memberi keyakinan bahawa UMNO Zon 6 sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila bila masa. 

Menurutnya lagi, lawatan tersebut adalah untuk mengenalpasti isu-isu di bahagian masing masing dan persiapan jentera pilihan raya setiap bahagian dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

No comments