Kes Bunuh Kanak-kanak, Mahkamah Arah Lelaki Bela Diri.

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan seorang pekerja kilang membela dirinya pada 2 Mac tahun ini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.


Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad menyampaikan keputusan itu terhadap Mohd Saifulrizan Sainan, 34, selepas kes berkenaan di peringkat akhir pendakwaan.

Mahkamah dalam penghakiman itu, mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang diwakili peguam Ram Singh.

Mohd Saifulrizan seorang kelainan upaya, didakwa membunuh kanak-kanak berkenaan pada 21 November 2014 jam 7 pagi, di sebatang anak sungai, Kampung Jempangah, di daerah Beaufort.

Sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Dalam pada itu, tertuduh memilih untuk memberikan keterangan bersumpah di dalam kandang saksi semasa pembelaan itu nanti.

Ketika disoal mahkamah berapakah saksi yang akan dipanggil, Ram menyatakan hanya tertuduh seorang sahaja.

Kini tertuduh terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah sehingga kes berkenaan selesai. Pedakwaan itu dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Gan Peng Kun.

No comments