Lebih 400 Paus Mati Terdampar Di Pantai New Zealand.
WELLINGTON: Lebih 400 ekor ikan paus terdampar di pantai, dengan ratusan daripadanya mati tatkala sukarelawan tempatan cuba untuk mengapungkan mamalia yang didapati masih hidup.
Jurucakap Jabatan Pemuliharaan New Zealand, Andrew Lamason berkata, ia adalah kejadian terbesar pernah dicatatkan di negara tersebut, di mana kes paus mati terdampar di pantai memang dianggap perkara biasa.
Beliau berkata, 416 ekor paus jenis pilot dihanyutkan ke pantai di Farewell Spit, wilayah teluk Golden Bay di utara Pulau Selatan, pada malam tadi.
Kata Lamason, 70 peratus daripada jumlah itu didapati sudah mati dan usaha sedang dilakukan untuk menarik baki yang masih hidup ke dalam laut ketika air pasang, walaupun harapan tampak tipis.
“Dengan jumlah yang sudah mati itu, anda boleh membuat kesimpulan bahawa yang lain juga berada dalam keadaan yang teruk,” katanya kepada stesen Radio New Zealand.
“Jadi kami sudah bersedia untuk berdepan tempoh yang menyedihkan selepas ini.”
Paus jenis pilot boleh membesar sehingga enam meter panjang dan menjadi spesies paus yang lazim dilihat di perairan New Zealand.
Farewell Spit terletak 150 kilometer di barat pekan pelancongan Nelson, pernah menyaksikan sekurang-kurangnya sembilan kejadian paus mati terdampar dalam jumlah besar sejak sedekad lalu, namun kes kali ini dipercayai paling buruk.
Lamason berkata, sebab mengapa ikan paus mati terdampar di pantai tidak diketahui tetapi dia percaya ia ada kaitan dengan faktor geografi tempatan.
“Jika anda sedang merekabentuk sesuatu untuk menangkap paus, teluk Golden Bay ini mungkin mempunyai reka bentuk yang sempurna.
“Di luar pesisir Farewell Spit, terdapat dasar pasir yang luas, teluk ini sangat cetek dan apabila paus berenang masuk… sukar baginya untuk mencari jalan keluar.” - AFP/BH ONLINE
Post a Comment