Gajah LEPAK Di Ladang Sawit Menarik Perhatian Penduduk Kampung.
Telupid: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sudah dua kali mengusir sekumpulan gajah yang dilaporkan sering dilihat di sebuah ladang sawit di sini, baru-baru ini.
Difahamkan, orang awam terserempak dengan haiwan itu sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, kali pertama pihaknya menerima aduan berhubung kehadiran gajah terbabit pada 27 Januari lalu.
“Susulan itu, kami kerah kakitangan ke lokasi bagi mengusir gajah berkenaan. Kali kedua, kami menerima maklumat sekawan gajah dilihat di kawasan sama pada 16 Februari lalu.
“Kira-kira 40 gajah ditemui di kawasan itu pada kejadian kali kedua. Kami sekali lagi mengusirnya ke kawasan selamat. Kumpulan gajah datang ke kawasan itu kerana ia mungkin pernah berkeliaran di kawasan sama sebelum tapak itu dibangunkan untuk sektor perladangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Augustine berkata, pemeriksaan mendapati ladang kelapa sawit itu tidak memiliki pagar elektrik.
“Kerana itu kumpulan gajah senang untuk bergerak masuk dan keluar ke kawasan berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihati pemilik ladang supaya memasang pagar elektrik di sekeliling ladang bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sementara itu, kehadiran gajah dalam jumlah besar menarik perhatian penduduk malah ramai yang sempat mengambil gambar hidupan liar berkenaan.
Penduduk, Sudirman Ribu, 30-an, ketika dihubungi berkata, dia terserempak dengan gajah itu di ladang terbabit, Rabu lalu.
Katanya, dia difahamkan oleh pekerja ladang, gajah ada di situ dan pada kebiasaannya seawal jam 6 pagi.
“Selain itu, antara jam 6 petang hingga 7 malam, pasti ada gajah melalui kawasan itu. Jalan berkenaan adalah jalan ladang kelapa sawit dan jalan kem kayu balak.
“Sepanjang tahun ini, pada masa-masa tertentu, kumpulan gajah itu pasti akan muncul,” katanya yang sempat bergambar dari jarak jauh berlatar belakangkan hidupan liar terbabit.
Post a Comment