Dua Sekawan Dicekup Curi Barangan Kemas.
LAWAS: Dua sekawan warga tempatan dan Indonesia ditahan reman tiga hari bermula hari ini selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan curi barangan kemas di sini semalam.
RAMPAS…Polis menemui kembali barangan kemas dengan tertangkapnya dua suspek semalam.
Kedua suspek lelaki warga tempatan berusia 26 dari Sundar dan rakannya warga Indonesia, 33, dicekup selepas menjual beberapa barangan kemas hasil kegiatan curi di sebuah premis pajak gadai di bandar ini.
Bagaimanapun kegiatan mereka berjaya dihidu polis sebelum ditangkap dalam tempoh tiga jam pihak polis menerima laporan daripada mangsa, 29, warga Indonesia selepas menyedari beg sandang mengandungi barang berharga yang diletakkan di dalam bilik di sebuah rumah di Batu 4 Jalan Trusan lesap dilarikan pencuri.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin bin Abang Ahmad berkata tangkapan itu hasil tindakan pantas anggotanya yang menjalankan pemeriksaan ke beberapa premis pajak gadai di bandar ini.
“Berdasarkan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis pajak gadai, kita telah berjaya menahan dua suspek lelaki yang masih berada berhampiran kawasan premis tersebut kelmarin,” katanya hari ini.
Menurutnya lagi, pihaknya telah berjaya menemui semula barangan kemas iaitu dua utas rantai, tiga bentuk cincin dan sepasang anting-anting, sejumlah resit jual beli dan pajak gadai emas dari suspek berkenaan.
Menurutnya mangsa yang bekerja sebagai buruh memberitahu nilai keseluruhan barangan kemas yang berjaya ditemui semula adalah sebanyak RM5,000 itu dibeli untuk keluarganya di Indonesia.
“Siasatan awal polis mendapati kedua suspek negatif daripada pengambilan bahan terlarang. Manakala dokumen perjalanan suspek yang berasal dari Indonesia telah tamat tempoh,” ujarnya lagi.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Seorang lagi suspek berdepan satu lagi pertuduhan mengikut kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.
Post a Comment