31 Calon STPM 2016 Perolehi Keputusan Cemerlang PNGK 4.00 Di Sabah.

KOTA KINABALU: Seramai 31 orang calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 berjaya memperolehi PNGK 4.00 berbanding seramai 12 orang pada tahun 2015. 

Antara barisan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang PNGK 4.00 dalam peperiksaan STPM tahun 2016.-Gambar Oleh Alex Mairin

Daripada jumlah tersebut seramai tiga orang calon adalah pelajar aliran sains dan seramai 28 orang adalah pelajar aliran kemanusiaan. 

Menurut Ketua Sektor Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Haji Bad Hamid Bin Haji Musli, seramai 6,361 orang calon dari sekolah kerajaan dan bantuan penuh kerajaan di negeri ini telah menduduki peperiksaan STPM pada tahun lalu. 

“Dari jumlah tersebut, seramai 6,244 orang calon atau 98.16 peratus berjaya mendapat lulus berbanding 97.31 peratus pada tahun 2015.” 

“Ini menunjukkan sekali lagi peningkatan peratus lulus negeri sebanyak 0.85 peratus,”katanya ketika Pengumuman Keputusan Keseluruhan Peperiksaan STPM mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Hajah Maimunah Binti Suhaibul, di sini, hari ini. 

Dari segi Gred Purata Nilai Kumulatif (GPNK) menunjukkan peningkatan sebanyak 0.07 iaitu 2.58 pada tahun 2016 berbanding 2.51 pada tahun 2015. 

“Manakala jurang perbezaan GPNK antara Negeri Sabah dan negara mengecil iaitu sebanyak 0.13 pada tahun 2016 berbanding 0.14 pada tahun 2015.” 

“Dari aspek pencapaian mata pelajaran sebanyak 15 mata pelajaran STPM yang diduduki oleh calon di negeri ini juga menunjukkan peningkatan pada tahun 2016 berbanding hanya lapan mata pelajaran daripada 21 mata pelajaran pada tahun sebelumya.” 

“Pada tahun 2016, sebanyak 53 buah sekolah juga telah mencapai kelulusan 100 peratus berbanding hanya 41 buah sekolah pada tahun sebelumnya,”katanya.

No comments