13 PATI Ditahan Polis Di Kinarut.
KOTA KINABALU: Polis menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Pencegahan Jenayah di Stesen Kereta Api Kinarut, dekat sini pada Rabu.
ANTARA pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan dalam Op Bersepadu di Kota Kinabalu.- Foto Mohd Ruzaini Zulkepli
Ketua Polis Daerah Papar DSP Nor Azizulkifli Mansor berkata bertindak atas maklumat awam, kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang di stesen kereta api berkenaan.
“Ketika ditahan kesemua mereka dipercayai sedang menunggu kereta api untuk ke pusat bandar Kota Kinabalu. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kesemua yang ditahan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Papar untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Imigresen bagi tindakan lanjut.
Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kebanjiran pendatang haram di daerah berkenaan.
“Orang ramai turut dialu-alukan memberikan maklumat mengenai kehadiran PATI di kawasan masing-masing agar tindakan segera dapat diambil,” katanya. - Bernama
Post a Comment