Hanya Dengan Hujung Jari Sahaja, Masyarakat Luar Kini Boleh Mengenali Tambunan.
TAMBUNAN: Hanya dengan hujung jari sahaja, masyarakat luar kini boleh mengenali Tambunan melalui aplikasi Tahun Melawat Tambunan 2017 (VTBN2017) yang dilancarkan pada Rabu.
Aplikasi yang dibangunkan oleh Pejabat Daerah Tambunan memberi maklumat mengenai acara-acara sepanjang Tahun Melawat Tambunan 2017, lokasi-lokasi pelancongan menarik, penginapan, maklumat terkini berkenaan pelancongan, peta lokasi, pengusaha-pengusaha aktiviti pelancongan dan ia turut memberi pautan langsung kepada Facebook VTBN2017.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan aplikasi berkenaan akan membantu dalam mempromosi Tambunan dalam usaha menarik pelancong untuk datang ke daerah tersebut.
“Hari ini kita perkenalkan aplikasi yang memberikan kemudahan kepada orang ramai mengenai daerah Tambunan dengan keindahan semulajadinya dan juga kemudahan infrastruktur yang telah disediakan bersempena dengan VTBN2017.
“Kita berharap usaha yang dilaksanakan ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai satu kegiatan yang memberikan manafaat kepada penduduk-penduduk kampung di sini dan juga di daerah-daerah berdekatan dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi masyarakat tempatan,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Ginawari Tambunan di Pisompuruan Square.
Beliau yang juga Ahli Parlimen berharap dengan kedatangan pelancong dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung dan meningkatkan kesedaran berkenaan potensi sebenar untuk menaik taraf hidup masyarakat pendalaman.
Dalam ucapannya, Pairin berkata ginawari yang bembawa maksud tamu besar dianjurkan di daerah berkenaan sejak tahun 1981 dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti jualan hasil kraftangan dan hasil tanaman.
Beliau juga berharap program tersebut dapat membantu dalam menjana pendapatan penduduk-penduduk kampung dan dapat menjadi salah satu produk pelancongan tahunan daerah berkenaan.
Pada majlis sama, Pairin turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Tarian Sumazau Kratif Peringkat Negeri, sebagai salah satu aktiviti VTMBN2017 uyang dibarisi SK Pekan Tambunan dan SMK Nambayan sebagai johan bagi kategori sekolah rendah dan menengah yang menerima RM2000, piala iringan serta siljil penyertaan. - PENERANGAN
Post a Comment