2 Cedera Parah Kereta Langgar Motosikal.
KUCHING: Dua sekawan cedera parah apabila motosikal mereka dilanggar sebuah kereta di Jalan Tun Salahuddin di sini, awal pagi semalam.
Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak ASP Mathew Manggie berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 24 tahun yang memandu dari Jambatan Tun Salahuddin menghala ke Bulatan Gersik telah hilang kawalan dan memasuki laluan sebelah kiri.
“Kereta itu kemudian melanggar motosikal yang bergerak dari arah sama dan seterusnya terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar sebatang pokok dan memasuki longkang.
“Akibat kemalangan pada jam 1.30 pagi itu, motosikal berkenaan turut tercampak ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mathew berkata, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala manakala pembonceng patah tangan kiri.
Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 23 tahun dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan lanjut.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kes berasingan, seorang remaja patah kaki apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis pikap di Jalan Bau-Batu Kawa, berhampiran Kampung Sungai Pinang, dekat sini.
Dalam insiden sekitar jam 9 malam Ahad, lelaki berusia 17 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah rakannya apabila berlanggar dengan pikap di sebuah simpang.
Mangsa yang patah kaki kiri dibawa ke Hospital Bau dengan menggunakan ambulans sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
Post a Comment