Sikap Tun M, Pembangkang Sama Dengan Trump.
KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang dan Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai berat sebelah, tidak ubah seperti sikap calon presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata ia berikutan mereka hanya akan menyokong Pandikar Amin jika keputusannya menyebelahi pembangkang, dan menuduhnya berat sebelah jika sebaliknya.
“Trump pernah kata hanya iktiraf keputusan pilihan raya AS jika dia menang dan jika kalah, dia akan menganggap ia keputusan yang dirancang.
“Ini sama dengan pembangkang, tiada bezanya Trump dengan pemikiran parti pembangkang dan saya tidak mahu Dr Mahathir sama dengan Trump dalam isu ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang melahirkan rasa sedih kerana Ahli Parlimen hari ini disekat oleh Pandikar Amin untuk berbahas mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dan dana RM2.6 bilion. - BH Online
Post a Comment