Penagih Ditahan Miliki Syabu.
Bukit Mertajam: Penagih lelaki,29, ditahan kerana memiliki syabu dalam satu operasi di Bukit Mertajam, 10 pagi semalam.
Dalam operasi itu, anggota polis yang memeriksa suspek menemui empat paket plastik lutsinar berisi hablur kristal kira-kira 5.20 gram.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek diperiksa ketika sedang duduk di hadapan rumahnya di Mukim 11,Kebun Sireh di sini.
Beliau berkata, pihaknya menemui dadah berkenaan di dalam beg kecil yang dibawa suspek.
Katanya, selain itu polis juga menjumpai kunci motosikal jenis Yamaha 125zdi dalam poket seluar suspek.
"Hasil siasatan ke atas motosikal itu juga pihak kami mendapati nombor enjin dan casisnya sudah diganggu.
"Motosikal berkenaan dirampas manakala suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bagi tindakan selanjutnya," katanya.
Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (1)Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379 A(1) Kanun Keseksaan. - Bernama
Post a Comment