Curi Dompet Doktor, Pesakit Dipenjara Sehari Dan Denda.
AMPANG: Seorang ibu tiga anak dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM2,800 selepas mengaku bersalah mencuri dompet seorang doktor wanita ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital, Ogos lepas.
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Nur Joanna Muhammad Syafiq Teoh, 31, selepas mengaku mencuri dompet milik Dr Liong Ming Feng, 35, yang berisi kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM, kad kredit dan wang tunai.
Mahkamah turut memerintahkan wanita yang tidak bekerja itu, dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik No 10, Klinik Pakar Ortopedik, Hospital Ampang, Pandan Mewah, di sini antara 7.30 pagi dan 4.25 petang, 29 Ogos lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau boleh juga didenda.
Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam menangis teresak-esak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana keluarganya tidak mempunyai pendapatan oleh sebab suaminya tidak bekerja, selain dia telah menyesal atas perbuatannya.
Berdasarkan fakta kes, doktor wanita itu telah menerima satu sistem pesanan ringkas melalui telefon bimbit dari bank memaklumkan kad kreditnya telah digunakan untuk pembelian barang kemas di sebuah kedai emas.
Doktor itu kemudian memeriksa beg tangannya dan mendapati dompetnya telah hilang sebelum membuat laporan polis.
Hasil siasatan dan rakaman kamera litar tertutup di kedai emas itu menunjukkan tertuduh telah menggunakan kad kredit tersebut yang dicurinya daripada dompet doktor yang diletakkan di dalam beg tangan di atas meja Klinik Pakar Ortopedik di Hospital Ampang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Illyana Zainal. -Bernama
Post a Comment